Pelajar Curtin Sarawak meraih kemenangan dalam pertandingan filem pendek

Miri – 7 Februari 2011 – Tiga pelajar komunikasi dari Universiti Curtin, Sarawak Malaysia (Curtin Sarawak) berjaya meraih tempat ketiga di dalam MUFORS Road Reels Short Film Competition, kategori Filem Pendek/Dokumentari Mini.

Pertandingan yang dianjurkan oleh MUFORS atau Malaysians United for Road Safety itu bertujuan untuk menyediakan medium kepada golongan pelajar dari institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia untuk menyampaikan mesej mengenai isu-isu keselamatan jalan raya.

Kumpulan pelajar yang terdiri daripada Cecilia Yii Siew Chen, Irene Wong Tien Tien dan Wong Kee Fong menambat hati para hakim serta pengundi online dengan filem yang bertajuk Turn Back, sekaligus mendapat tempat ketiga dan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM5000, trofi serta sijil penyertaan pada majlis yang diadakan di Petaling Jaya baru-baru ini. Universiti Curtin turut memenangi hadiah wang tunai RM1000 di atas kemenangan yang sama.

Turn Back mengisahkan tentang seorang ibu yang mendoakan keselamatan anaknya yang meniggalkan rumah dalam keadaan marah setelah berselisih faham dengan si ibu. Semasa memandu, si anak hampir-hampir mengalami kemalangan jalan raya dan akibatnya, menyedarkan si anak daripada kesilapan nya. Si anak kemudian kembali pulang dan meminta maaf daripada si ibu.

Cecilia, yang merupakan producer filem, menganggap pengalaman itu sebagai satu kejutan kerana beliau serta rakan-rakannya tidak menyangka akan kemenangan itu.

“Kami bersetuju untuk menyertai pertandingan ini untuk menimba pengalaman. Menjadi pemenang tempat ketiga merupakan bonus dan kami berasa amat gembira di atas kemenangan ini,” ujur Cecilia.

Direktor filem, Irene, juga amat teruja setelah memenangi pertandingan itu dan menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada krew produksi filem, para pelakon serta pensyarah-pensyarah yang terbabit di dalam pembikinan filem itu. Irene percaya bahawa pelbagai persiapan berat perlu diambil kira di dalam menghasilkan sebuah filem.

“Berbicara mengenai filem dan menghasilkan filem adalah dua perkara yang amat berbeza. Kumpulan kami telah banyak bertungkus lumus dan pada masa yang sama, telah menimba pengalaman yang amat berharga sepanjang pembikinan filem ini,” ujur Irene.

Kee Fong, yang merupakan ahli kumpulan yang paling kecil, tidak membiarkan saiz badannya menjadi halangan apabila beliau perlu mengendalikan kamera dan amat berpuas hati dengan pengalaman yang ditimba.

Beliau berkata, “Bukan senang untuk mengendalikan kamera yang begitu berat. Namun, saya yakin akan kemampuan saya dan oleh itu, ingin mengajar para pemandu supaya lebih berhati-hati apabila memandu.”

Kemenangan yang diraih telah memberi semangat kepada trio ini untuk menghasilkan filem yang berkualiti dan mantap. Di samping itu, mereka juga berharap untuk menyertai lebih banyak pertandingan di masa hadapan.

Antara mereka yang menjadi tulang belakang kumpulan ini ialah Juliana Yong yang juga merupakan penasihat produksi filem. Yong meluahkan pujian beliau kepada pelajar-pelajarnya di atas inisiatif mereka. Tambah beliau, kemenangan itu juga berjaya mengharumkan nama Jabatan Media, Kebudayaan dan Komunikasi, Curtin Sarawak.

Pelajar-pelajar Jabatan itu telah memenangi beberapa anugerah filem di peringkat kebangsaan beberapa tahun yang lepas. Ini termasuk IGEM 2010 Dare to Dream Challenge, Malaysia Airlines’ Detik-detik MH Short Film Competition, Anugerah Filem Pendek Radio Television Malaysia dan Program Karyawan Muda, pertandingan filem peringkat kebangsaan.

Menurut pensyarah komunikasi Ngu Ik Ying, pertandingan sedemikian memberi pendedahan mengenai penyertaan untuk pertandingan filem serta kempen keselamatan jalan raya di peringkat nasional.

“Menyertai pertandingan sebegini bukan untuk memenangi hadiah semata-mata tetapi untuk memberi peluang kepada generasi muda yang berminat dalam bidang perfileman untuk menyampaikan mesej keselamatan mengikut kreativiti masing-masing,” tambah Ngu.

Selain daripada Turn Back, Curtin Sarawak turut menghantar penyertaan filem-filem lain yang bertajuk You Nampak Tak?All It Takes and Don’t Text and Drive.

Sebanyak 142 penyertaan diterima untuk MUFORS Road Reels Short Film Competition yang telah berlangsung sepanjang August sehingga November tahun lepas. MUFORS merupakan projek komuniti yang dijalankan dengan kerjasama PLUS Expressway Berhad yang mengalakkan pelajar-pelajar daripada universiti dan kolej seluruh Malaysia menghasilkan filem pendek yang mampu memupuk kesedaran berkenaan keselamatan jalan raya di kalangan rakyat Malaysia.

Tontoni filem-filem yang berjaya melalui laman web www.mufors.org.my.

Untuk keterangan lanjut mengenai Curtin Sarawak, layari laman web www.curtin.edu.my atau e-mail enquiries@curtin.edu.my.


Pengerusi MUFORS Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid (kiri) menyerahkan cek kepada Wong Kee Fong, Cecilia Yii Siew Chen dan Irene Wong Tien Tien.


Wong Kee Fong, Irene Wong Tien Tien dan Cecilia Yii Siew Chen ditemani pensyarah Juliana Yong (hujung kiri) dan Ngu Ik Ying (hujung kanan) di majlis MUFORS Short Film Award.


Pembikin filem muda dari Curtin Sarawak bersama-sama trofi, sijil serta cek yang dimenangi di MUFORS Road Reels Short Film Competition.