Selami kembali cinta kampus

Miri – 9 Mac 2011 – James Yap Ming Tzer dan Hii Ling Chee, dua bekas pelajar Universiti Curtin, Sarawak Malaysia (Curtin Sarawak) kembali ke kampus baru-baru ini untuk tujuan yang amat istimewa iaitu merakam potret perkahwinan mereka di kampus itu.

Pasangan muda itu yang telah menamatkan pengajian mereka dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Pembinaan berkata, Curtin Sarawak merupakan lokasi yang paling sesuai untuk sesi pengambaran itu kerana di kampus itulah percintaan mereka mula terjalin.

“Kampus ini mengundang begitu banyak memori silam. Saya selalu berpendapat bahawa persekitaran kampus ini begitu menawan. Sedap mata memandang, terutama sekali tasik buatan manusia, persekitaran yang hijau dan laman yang begitu luas sekali,” ujar James.

Beliau turut berterima kasih dengan pihak universiti kerana sudi memberi peluang kepada beliau serta isteri beliau untuk merakam potret perkahwinan mereka di dewan kuliah dan makmal sains yang mana mereka memang sudah serasi dengan tempat-tempat itu.

Sam Tan yang merupakan jurugambar dan pemilik studio Frozen in Time di Miri, menjelaskan bahawa keindahan Curtin Sarawak, keunikan pemandangan serta bangunan yang bercirikan rekaan dari Australia adalah begitu sesuai untuk pengambaran lokasi luar.

Individu yang bertanggungjawab dalam mengatur sesi pengambaran ini adalah Vivian Aren Imang, kakitangan Jabatan Pentadbiran Awam universiti itu. Beliau amat bersetuju dengan pendapat James dan Sam mengenai keserasian kampus itu sebagai lokasi pengambaran.

Tambah beliau, kampus itu yang telah siap dibangunkan pada tahun 2002, juga dianggap sebagai salah satu daripada bangunan paling moden di negara ini. Ia amat sesuai digunakan sebagai lokasi pengambaran kerana reka bentuk bangunan yang bercita rasa tinggi.

Tasik buatan manusia yang luas, yang juga merupakan identiti kampus itu, serta rupa bentuk luaran dinding bangunan yang dibina daripada batu bata merah menyumbang kepada wajah ‘Curtin’ yang menyerupai kampus utama di Perth, Australia.

Reka bentuk kampus dan bangunan di universiti itu merupakan gabungan teknologi baru dan ciri-ciri tempatan. Bangunan tersebut dilengkapi dengan bahan-bahan berteknologi tinggi dan rekaan tenaga suria pasif yang memanfaatkan sumber alam sekitar. Bukan itu sahaja, orientasi bangunan tersebut direka supaya menyerupai pua kumbu, fabrik traditional suku kaum Sarawak. Hasil seni kaum pribumi juga dimuatkan di dalam reka bentuk dinding kaca yang terdapat di dalam dewan kuliah serta bahagian-bahagian lain di seluruh kampus itu.

Bangunan kediaman yang terdapat di dalam kampus itu diletakkan di lokasi yang berasingan daripada bangunan akademik. Tasik indah yang memisahkan bangunan-bangunan ini memberi pemandangan yang cukup istimewa kerana ia mengambarkan latar belakang Sarawak yang sentiasa hijau dan kaya dengan sumber air.

Menurut Vivian, kampus Curtin itu terdiri daripada fasa pertama dan kedua daripada pembangunan yang menelan belanja sebanyak RM400 million. Ia berupaya menampung sehingga 10,000 pelajar di masa akan datang. Ketika ini, terdapat 3,000 pelajar daripada 40 negara yang sedang melanjutkan pelajaran mereka di Curtin Sarawak. Universiti itu merupakan usaha sama antara Curtin University of Western Australia dan kerajaan negeri Sarawak.

Mereka yang berminat untuk mengendalikan sesi pengambaran di Curtin Sarawak atau ingin menyewa lokasi di kampus untuk tujuan mengadakan pameran, latihan, konvensyen, aktiviti-aktiviti sosial atau ‘garden weddings’, sila hubungi Vivian di talian 085-443 939 sambungan 1202 atau hantarkan emel ke vivian.i@curtin.edu.my.

 


Pasangan suami isteri dan krew pengambaran di tepi tasik.


Mengenang kembali memori silam di dalam bilik kuliah.