Upacara pecah tanah mengukir sejarah bukan sahaja bagi Curtin Sarawak, malahan Universiti Curtin juga, ujar Canselor

Miri – 20 Mei 2011 – Upacara pecah tanah yang berlangsung baru-baru ini bagi projek pembinaan bangunan Canselori di Universiti Curtin, Sarawak Malaysia (Curtin Sarawak) merupakan upacara istimewa bukan sahaja dalam sejarah Curtin Sarawak, malahan juga bagi Universiti Curtin, menurut Canselor Universiti Curtin, Dr. Jim Gill.

Dr. Gill mengulas demikian pada upacara pecah tanah bagi pembinaan bangunan serba moden di kampus Curtin Sarawak pada 6 Mei 2011 yang lepas.

Turut terlibat dalam upacara tersebut adalah Pengerusi majlis kampus (Campus Council) dan badan pengurusan Curtin Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam dan Datuk Lee Kim Shin; Pro Naib-Canselor, Profesor Ian Kerr; Naib Canselor Universiti Curtin, Profesor Jeanette Hacket, dan Timbalan Naib Canselor, Profesor David Wood; dan Pengerusi Curtin (Malaysia) Sdn Bhd, Datuk Dr. Hatta bin Solhi. Ahli-ahli majlis kampus dan badan pengurusan, kakitangan pengurusan serta para akademik universiti itu juga turut serta menyaksikan upacara tersebut.

“Upacara ini mempunyai signifikan tersendiri dalam sejarah pendidikan tinggi di Asia Pasifik di mana permulaan baru telah dicatat dalam sejarah. Kita bukan sahaja meraikan upacara pecah tanah di lokasi yang penuh bermakna dari segi budaya dan rohaninya, kita juga meraikan ia dalam konteks pendidikan yang lebih luas,” kata Dr. Gill.

Tambah beliau lagi, upacara tersebut bukan sahaja akan menyokong lanjut pembangunan kampus dari segi luaran dan fungsi, ia juga menunjukkan penubuhan satu institusi di mana visi serta rekaan inovatifnya menjanjikan suatu transformasi berlanjutan.

“Reputasi gemilang Curtin adalah berasaskan kejayaan cemerlang para graduan universiti ini juga kemudahan-kemudahan yang serba lengkap dan moden, penting bagi menyumbang kepada pendidikan inovatif yang telah lama disokong oleh pemimpin-pemimpin Curtin yang lalu dan terkini. Para graduan kita terdiri daripada golongan profesional yang boleh didapati di seluruh dunia. Oleh demikian, mereka perlu mendapat pendidikan daripada kemudahan yang terbaik,” tambah beliau.

Dr. Gill mengulas lanjut bahawa Curtin menubuhkan lebih banyak lagi kemudahan-kemudahan yang menepati pertumbuhan semua kampus yang terdapat di Asia Pasifik. Ini termasuk baik pulih kampus utama Bentley di Perth dengan visi jangka panjang untuk mengubah kawasan tersebut kepada universiti bertaraf dunia yang berlokasi di pusat bandar.

Pro Naib-Canselor dan Ketua Eksekutif Curtin Sarawak, Profesor Ian Kerr, berkata upacara pecah tanah tersebut menandakan pembaharuan dari segi kehidupan kampus dan pengalaman pelajar di Curtin Sarawak.

Beliau berkata bangunan baru itu akan mempamerkan segala kejayaan dan keunikan Universiti Curtin di samping menunjukkan pembangunan cemerlang yang telah dilalui oleh Curtin Sarawak. Ia juga dilihat sebagai pemangkin bagi pembangunan universiti itu, perluasan dari segi perkhidmatan kampus juga penglibatan yang menyeluruh dengan komuniti setempat.

Dengan keluasan sebesar 3,300 meter persegi, bangunan Canselori tiga tingkat itu akan menempatkan blok pentadbiran, dewan kuliah yang boleh menempatkan 400 orang pelajar, bilik mesyuarat dan latihan korporat di samping menempatkan ruang di mana seni dan budaya tempatan Sarawak serta anugerah-anugerah yang telah diperolehi universiti itu akan dipamerkan. Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula Ogos ini dan dijangka selesai hujung tahun 2012.

Setelah selesai pembinaan Canselori itu kelak, bangunan John Curtin yang buat masa ini menempatkan pejabat pentadbiran dan perpustakaan akan diubahsuai menjadi Pusat Sumber dan Perpustakaan. Projek pembangunan infrastruktur serta baik pulih ruang yang sedia ada juga akan dijalankan.

Menurut Profesor Kerr, pembangunan infrastruktur lanjutan untuk 3 sehingga 5 tahun yang akan datang termasuk pembinaan surau, Miri Bio-Park yang akan menempatkan Curtin Sarawak Research Instituteblok pengajian serbaguna, pangsapuri pelajar, juga gimnasium, gelanggang tenis dan kemudahan rekreasi lain.

Manakala itu, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Chan, dalam ucapan beliau, mengimbau kembali kemajuan Curtin Sarawak yang bermula pada tahun 1998 dan berpendapat bahawa projek Canselori ini sebagai projek yang berani dan imaginatif. Beliau memuji ahli-ahli pengarah dan badan pengurusan Curtin Sarawak, juga bekas Pro Naib-Canselor Profesor John Evans, di atas sumbangan mereka terhadap projek itu.

Tambah beliau, fasa selanjutnya dalam pembangunan Curtin Sarawak akan membawa makna dan kekuatan yang lebih mendalam kepada kemudahan universiti itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai Curtin Sarawak, layari laman web www.curtin.edu.my atau e-mail enquiries@curtin.edu.my.

 


Dr Jim Gill dan Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan mengambil bahagian dalam upacara pecah tanah.


Prof Jeanette Hacket, Dr Jim Gill, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Gerorge Chan dan Datuk Lee Kim Shin (3 dan 6 dari kiri) melihat modal bangunan baru Canselori.


“Artist’s impression” bangunan Canselori yang baru.