Pelajar Bumiputra Sarawak kini mampu memperolehi pendidikan berkualiti Australia di Curtin Malaysia

Miri – 17 Januari 2020 – Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) telah bekerjasama dengan Yayasan Sarawak untuk menawarkan Skim Bursari BP40 Yayasan Sarawak bertujuan untuk meningkatkan bilangan pelajar Bumiputra Sarawak di kampus.

Terhad kepada 100 pelajar Bumiputra Sarawak yang tergolong di dalam kategori pendapatan isirumah B40 dan M40, skim bursari tersebut menawarkan pendidikan Australia yang berkualiti dan ijazah yang diikhtiraf di seluruh dunia dari Curtin dan yuran pengajian yang telah diberi subsidi yang sama dengan kadar yuran pengajian universiti awam di Malaysia.

Tambahan lagi, pelajar yang mendaftar untuk Skim Bursari BP40 ini masih layak untuk memohon skim bantuan kewangan pendidikan lain yang ditawarkan oleh Yayasan Sarawak untuk membiayai yuran pembelajaran, bersama dengan insentif lain di dalam skim berkenaan.

Struktur yuran khas skim bursari ini adalah terpakai untuk semua kursus termasuk pengajian asas dan ijazah sarjana muda di dalam perniagaan, kejuruteraan, sains, teknologi dan seni di Curtin Malaysia.

Pelajar Bumiputra yang berminat bolehlah mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim ini di laman sesawang https://curtin.edu.my/BP40. Oleh kerana tawaran ini terhad bilangannya, pelajar yang berminat digalakkan untuk memohon melalui pautan laman sesawang tersebut secepat mungkin.

Pelajar yang layak boleh memohon kursus pengajian pilihan mereka untuk pengambilan Februari/Mac ataupun Julai/Ogos 2020.

Pegawai Kanan Operasi Curtin Malaysia, Pieter Willem Pottas berkata, Curtin Malaysia sangat teruja di dalam penyertaan skim bursari ini dan membuktikan komitmen Curtin Malaysia untuk membantu pelajar Bumiputra yang layak untuk mencapai cita-cita mereka untuk menyambung pelajaran di peringkat pengajian tinggi dan mendapatkan pendidikan bertaraf antarabangsa yang berkualiti tinggi.

“Melalui skim ini, kami ingin membuka peluang untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah yang layak untuk mendapatkan pendidikan tinggi yang berkualiti, yang mungkin tidak mampu diperolehi atas faktor kewangan yang terhad,” kata Pottas.

Curtin Malaysia, yang telah ditubuhkan 20 tahun yang lepas, hasil usaha sama diantara Curtin Unversity dan Kerajaan Negeri Sarawak, merupakan kampus antarabangsa terbesar dan pusat global Asia untuk Curtin University.

Sebagai universiti global yang ulung, Curtin University mempunyai kampus di Australia, Malaysia, Dubai, Mauritius dan Singapura dan jalinan rangkaian yang erat bersama universiti-universiti terulung di seluruh dunia. Ia juga telah tersenarai sebagai universiti dunia satu peratus tertinggi di dalam Academic Ranking of the World Universities (ARWU) 2019, dan telah menduduki tangga ke-230 di dunia untuk tahun 2019-2020 di dalam senarai kedudukan QS World University Rankings.

Kesemua kursus kejuruteraan di Curtin Malaysia telah diakreditasi oleh Board of Engineers Malaysia (BEM) dan Engineers Australia, manakala kursus perniagaan telah diakreditasi oleh Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) dan badan profesional antarabangsa yang lain.

Pelajar di Curtin Malaysia akan mempelajari kurikulum kursus yang sama dengan kampus induk Curtin di Perth dan kampus Curtin yang lain. Bahan pengajian, takwim akademik, peperiksaan dan juga sijil ijazah juga sama.

Pelajar juga berpeluang untuk berpindah ke salah satu kampus Curtin di seluruh dunia di dalam program pertukaran pelajar ataupun untuk menamatkan ijazah sarjana muda.

Curtin Malaysia mempunyai kampus hijau seluas 1,200 ekar di Miri dan menawarkan suasana pembelajaran antarabangsa dan lintas-budaya bersama pelajar dari lebih 50 buah negara. Warga pendidik di kampus Curtin Malaysia yang berasal dari lebih 15 buah negara terus mengukuhkan taraf globalnya.

Bursari ini memberi peluang kepada pelajar Bumiputra Sarawak untuk meneruskan pengajian tinggi yang berkualiti tinggi.